Saturday, October 12, 2013

Haji Akbar? 70 Kali Ganda Pahala?

Menurut seseorang yang saya kenali, apabila Hari Wukuf bagi satu-satu ibadat Haji pada tahun itu jatuh pada hari Jumaat, Haji itu diistilahkan sebagai: Haji Akbar; di mana jemaah pada tahun itu diberkati dengan 70 kali pahala berganda berbanding haji pada tahun-tahun lainnya.

Persoalannya, benarkah begitu?

Katanya pandangan itu disandarkan kepada satu hadith yang berbunyi, "Sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 Haji pada hari selain dari Jumaat".

Persoalannya, sahihkah hadith itu?

Sheikh Nasiruddin al-Albani mengatakan hadith ini tahrijnya batil dan tiada asal dari Nabi saw. Ia merupakan hadith palsu [al-Silsilah al-Dhaefah jilid 1, hadith #207].

Begitu juga pendapat Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma'ad; juga al-Manawi dan Ibn Abidin.

_________________________________

Namun istilah "Haji Akbar" itu sememangnya wujud. Cuma takrifan yang diberikan (yakni apabila Hari Wukuf jatuh pada hari Jumaat dan mendapat pahala 70/72 kali ganda) itu yang palsu dan batil.

Kata "Haji Akbar" telah disebutkan oleh Allah s.w.t. sendiri di dalam al-Qur'an, Surah at-Taubah, ayat 3:

Dan (inilah) suatu permakluman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. Dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih. [al-Qur'an, 9:3]

Namun takrifan "Haji Akbar" dalam ayat di atas adalah berbeza sama sekali dari apa yang sang "seseorang-yang-saya-kenali" nyatakan. Ia tiada kena mengena dengan 'Hari Wukuf jatuh pada hari sekian-sekian' dan tiada pula kaitan dengan 'pahala berganda'. Keterangan lanjut mengenai maksud Haji Akbar boleh dibaca melalui penulisan Ustaz Shauqi: "Tahun Ini Haji Akbar?".

0 comments:

Post a Comment