Thursday, April 3, 2014

Allah Yang Maha Pengampun


Kisah Taubat Seorang Pembunuh

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2372]
Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: "Zaman dahulu ada seorang pembunuh yang telah membunuh korbannya 99 orang.

Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, "Siapa ulama yang paling alim di negeri ini?" Maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta Yahudi). Lalu didatangi rahib itu seraya mengatakan dia telah membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab rahib: "Tidak!" Maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah korban pembunuhannya 100 orang.

Kemudian dia bertanya pula kepada penduduk, "Siapa ulama di negeri ini?" Maka ditunjukkan orang kepadanya seorang ulama yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh korbannya 100 orang. Kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, "Ya, selalu terbuka! Pintu taubat selamanya tidak pernah tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat bagi Anda? Pergilah Anda ke negeri Anu, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri Anda, kerana negeri Anda telah rosak."

Maka pergilah orang itu ke negeri yang ditunjuk sang ulama. Setengah perjalanan tiba-tiba orang itu meninggal. Maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat azab. Kata malaikat rahmat, "Orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah Ta'ala." Kata malaikat azab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun." Tiba-tiba datang seorang malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "Ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang ditujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat."




Kepemurahan Allah Ta'ala menerima taubat dan ampunan

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2362]
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah Ta'ala sangat gembira menerima taubat seseorang kamu, melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan kembali barangnya yang hilang."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2363]
Dari Ayyub Al Anshari r.a. dari Rasulullah s.a.w. sabdanya: "Seandainya kamu sekalian tidak mempunyai dosa sedikit jua pun yang patut diampuni Allah, nescaya Allah akan mendatangkan suatu kaum yang penuh dosa untuk diberikan-Nya ampunan bagi mereka."


0 comments:

Post a Comment