Saturday, October 12, 2013

Haji Akbar? 70 Kali Ganda Pahala?

Menurut seseorang yang saya kenali, apabila Hari Wukuf bagi satu-satu ibadat Haji pada tahun itu jatuh pada hari Jumaat, Haji itu diistilahkan sebagai: Haji Akbar; di mana jemaah pada tahun itu diberkati dengan 70 kali pahala berganda berbanding haji pada tahun-tahun lainnya.

Persoalannya, benarkah begitu?

Katanya pandangan itu disandarkan kepada satu hadith yang berbunyi, "Sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 Haji pada hari selain dari Jumaat".

Persoalannya, sahihkah hadith itu?

Sheikh Nasiruddin al-Albani mengatakan hadith ini tahrijnya batil dan tiada asal dari Nabi saw. Ia merupakan hadith palsu [al-Silsilah al-Dhaefah jilid 1, hadith #207].

Begitu juga pendapat Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma'ad; juga al-Manawi dan Ibn Abidin.

_________________________________

Namun istilah "Haji Akbar" itu sememangnya wujud. Kata "Haji Akbar" telah disebutkan oleh Allah SWT sendiri di dalam al-Qur'an, Surah at-Taubah, ayat 3:

Dan (inilah) suatu permakluman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. [al-Qur'an, 9:3]

Namun takrifan "Haji Akbar" dalam ayat di atas adalah berbeza sama sekali dari apa yang telah disebut oleh kenalan saya. Ia tiada kena-mengena dengan 'jatuhnya hari wukuf pada hari sekian-sekian' dan tiada pula kaitan dengan 'pahala berganda'. Keterangan lanjut maksud sebenar Haji Akbar boleh dibaca di blog Ustaz Shauqi: "Tahun Ini Haji Akbar?".

0 comments:

Post a Comment