Thursday, November 4, 2010

Mimpi Baik & Mimpi Buruk

Mimpi baik dan buruk

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2108]
Dari Abu Qatadah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mimpi yang baik datang dari Allah dan mimpi buruk dari syaitan. Maka bila kamu bermimpi buruk, meludahlah ke kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada Allah dari bahaya kejahatannya, nescaya dia tidak membahayakan."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2109]
Dari Abu Qatadah r.a., dari Rasulullah s.a.w. sabdanya: "Mimpi yang baik datang dari Allah, dan mimpi yang buruk dari syaitan. Maka siapa bermimpi yang dibencinya, hendaklah dia meludah ke kiri, kemudian berlindung kepada Allah dari kejahatan syaitan, nescaya tidak akan membahayakannya. Dan jangan menceritakan mimpi itu kepada siapa pun. Maka siapa bermimpi dengan mimpi yang buruk, bergembiralah dan jangan mencerita-ceritakannya kecuali kepada orang yang dikasihi."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2110]
Dari Jabir r.a., dari Rasulullah s.a.w. sabdanya: "Apabila salah seorang kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disenanginya, maka hendaklah dia meludah ke kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan tiga kali, sesudah itu merubah posisi tidur dari posisinya semula."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2111]
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi orang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 macam nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga macam: (1) Mimpi yang baik adalah khabar suka dari Allah. (2) Mimpi yang menakutkan atau menyedihkan, datangnya dari syaitan. (3) Dan mimpi yang timbul kerana ilusi angan-angan, atau khayal seseorang. Maka kerana itu, jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah, kemudian solat, dan jangan menceritakannya kepada orang lain."



Mimpi melihat Nabi s.a.w.

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2112]
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapa bermimpi melihatku dalam tidurnya, maka sesungguhnya dia benar-benar melihatku; kerana syaitan tidak sanggup mengubah bentuknya seperti bentukku."



Bermacam-macam mimpi

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2113]
Dari Jabir, katanya seorang 'Arab dusun datang bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Ya, Rasulullah! Aku bermimpi dalam tidurku, kepalaku dipenggal orang sehingga menggelinding. Lalu kuikuti dia ke mana perginya. Bagaimana itu?" Jawab Rasulullah s.a.w., "Jangan kamu ceritakan kepada orang lain permainan syaitan denganmu ketika kamu tidur." Kata Jabir, "Kemudian kudengar Nabi s.a.w. berkhutbah sesudah itu, sabdanya: "Janganlah salah seorang kamu menceritakan permainan syaitan dengannya ketika tidur."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2114]
Dari Ibnu 'Abbas r.a. katanya: "Seorang lelaki mendatangi Rasulullah s.a.w. lalu dia berkata: "Ya, Rasulullah! Semalam aku bermimpi dalam tidurku melihat setompok awan menitiskan minyak samin dan madu. Dan kulihat orang banyak menadahkan telapak tangan mereka. Ada yang mendapat banyak dan ada yang sedikit. Kemudian kulihat seutas tali terulur dari langit ke bumi. Kulihat Anda berpegang dengan tali itu, lalu Anda naik. Kemudian seorang lelaki memegang tali itu lalu dia naik pula mengikuti Anda. Kemudian seorang lelaki lain naik pula. Kemudian seorang lelaki yang lain lagi, tetapi tali itu putus. Setelah tali disambungkannya, maka dia terus naik." Kata Abu Bakar, "Ya, Rasulullah. Kumohon kepada Anda, berilah aku kesempatan menta'birkan mimpi itu." Jawab Rasulullah s.a.w., "Silakan Anda menta'birnya" Kata Abu Bakar, "Setompok awan ertinya agama Islam. Adapun minyak samin dan madu yang menitis ialah kitab Qur'an, manis dan lembut. Adapun Al-Qur'an yang ditadah orang, ada yang memperoleh banyak dan ada yang sedikit. Sedangkan tali yang terulur dari langit ke bumi, itulah kebenaran yang Anda bawa, lalu Anda ditinggikan Allah kerananya. Kemudian tali itu dipegang orang yang sesudah Anda, maka dia ditinggikan Allah pula. Kemudian orang yang sesudah itu. Kemudian oleh orang sesudah itu, sayang tali putus, tetapi dapat disambungnya kembali dan dia pun ditinggikan Allah. Maka tunjukkanlah kepadaku, ya Rasulullah, apakah ta'birku itu betul atau salah?" Jawab Rasulullah s.a.w., "Sebahagian betul dan sebahagian salah." Tanya Abu Bakar, "Demi Allah. Tunjukkanlah mana yang salah?" Jawab Rasulullah s.a.w., "Jangan bersumpah."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2115]
Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Semalam aku bermimpi sebagaimana lazimnya orang bermimpi. Rasanya kami seperti berada di rumah 'Uqbah bin Rafi', lalu kami diberi orang sejenis kurma yang disebutnya 'Kurma Ibnu Thab'. Maka kutakwilkan erti mimpi itu, ialah bahawa kita akan mendapat kemuliaan di dunia dan di akhirat, dan bahawa agama kita sesungguhnya agama yang benar."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2116]
Dari Nafi' r.a. katanya 'Abdullah bin 'Umar bercerita kepadanya, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: "Aku bermimpi dalam tidurku, bahawa aku sedang menggosok gigi dengan siwak (sejenis kayu). Lalu siwak (sugi) itu diminta oleh dua orang lelaki, yang satu lebih tua daripada yang lain. Maka kuberikan kepada yang muda. Tetapi ada orang berkata kepadaku, "Berikan kepada yang tua." katanya. Lalu kuberikan kepada yang tua."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2117]
Dari Abu Musa r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Aku bermimpi dalam tidurku bahawa aku hijrah dari Makkah ke suatu negeri yang berpohon kurma. Aku menduga bahawa negeri itu ialah Yamamah atau Hajar. Kiranya adalah kota Yatsrib. Dan kulihat pula dalam mimpiku itu bahawa aku menghunus sebuah pedang lalu pedang itu patah di tengah. Kiranya itu adalah musibah yang menimpa kaum mukmin dalam peperangan Uhud. Kemudian kehunus sekali lagi, ternyata pedang itu bagus seperti semula. Rupanya itu adalah kemenangan yang dikurniakan Allah, serta persatuan kaum mukmin. Kulihat pula dalam mimpiku itu seekor sapi, dan Allah Maha Baik. Rupanya sejumlah orang-orang mukmin yang syahid dalam medan perang Uhud dan pahala yang diberikan Allah sesudah itu berupa kebaikan, serta pahala kejujuran yang diberikan Allah sesudah perang Badar."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2118]
Dari Ibnu 'Abbas r.a. katanya: "Musailimah Al Kadzdzab (Musailimah si Pembohong) pernah datang ke Madinah pada masa Rasulullah s.a.w., lalu dia berkata:" Jika Muhammad mewariskan kenabiannya kepadaku sepeninggalnya, aku ikuti dia." Dia datang ke Madinah dengan rombongan besar terdiri dari kaumnya. Lalu Nabi s.a.w. datang menghadapinya berdua dengan Tsabit bin Qais bin Syammas. Ketika itu Nabi s.a.w. memegang sepotong pelepah kurma. Setelah berhadapan dengan Musailimah dan pengikut-pengikutnya, beliau bersabda: "Seandainya engkau meminta pelepah kurma ini kepadaku, itu pun tidak akan kuberikan kepadamu. Apalagi akan menyerahkan urusan Allah. Jika engkau tidak mematuhiku, Allah akan memusnahkanmu. Sesungguhnya aku telah bermimpi kebinasaanmu yang kusaksikan dalam mimpiku itu. Inilah Tsabit yang akan menjawab (tentangan)mu menggantikanku." Kemudian beliau pergi meninggalkan Musailimah si pembohong. Kata Ibnu 'Abbas selanjutnya, "Aku bertanya (kepada Abu Hurairah) tentang ucapan Nabi s.a.w. mengenai mimpi beliau itu. Jawab Abu Hurairah, Nabi s.a.w. pernah berkata, "Ketika aku tidur, aku bermimpi kedua belah tanganku memakai gelang emas, dan aku mencemaskan keduanya. Lalu diwahyukan Allah kepadaku dalam tidur itu, supaya aku meniup kedua-duanya. Maka kutiup kedua-duanya sehingga lenyap. Aku mentakwilkan mimpi itu, bahawa nanti sepeninggalku akan muncul dua orang pembohong (Nabi palsu), yang seorang ialah Al 'Ansi, pemimpin dari Shan'a, dan yang seorang lagi ialah Musailimah, pemimpin Yamamah."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2119]
Dari Samurah bin Jundab r.a. katanya: "Apabila Nabi s.a.w. selesai solat Subuh, beliau menghadapkan mukanya kepada orang banyak dan pernah bertanya: "Adakah di antara tuan-tuan yang bermimpi indah semalam?"



Mimpi Nabi Yusuf a.s.

[Surah Yusuf: 3-5, 99-101]

3. Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Qur'an ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.

4. (Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku742), sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku."
742). Bapa Yusuf a.s. ialah Ya'aqub putera Ishak putera Ibrahim a.s.

5. Ayahnya berkata: "Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpi itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka membuat makar (untuk membinasakan)mu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia."

.
.

99. maka tatkala mereka (saudara-sudara Yusuf, ayahnya dan saudara perempuan ibunya) masuk ke (tempat) Yusuf: Yusuf merangkul ibu bapanya762) dan dia berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah dalam keadaan aman".
762). Ayah dan saudara perempuan ibunya (bibi).

100. Dan ia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud763) kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf: "Wahai ayahku inilah ta'bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari rumah penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
763). Sujud di sini ialah sujud penghormatan, bukan sujud ibadah.

101. Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta'bir mimpi. (Ya Tuhan). Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

Untuk kisah selengkapnya, sila rujuk [Surah Yusuf: 1-111] Di dalamnya terkandung dua lagi kisah ta'bir mimpi; iaitu kisah Nabi Yusuf a.s. menta'bir mimpi dua orang pemuda semasa mereka bersama di dalam penjara [36-42], dan kisah Nabi Yusuf a.s. menta'bir mimpi Raja Mesir [43-49].

0 comments:

Post a Comment