Friday, November 26, 2010

Bunuh Diri

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.86]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapa yang bunuh diri dengan senjata tajam, maka senjata itu akan ditusuk-tusukkannya sendiri dengan tangannya ke perutnya di neraka untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan racun, maka dia akan meminumnya pula sedikit demi sedikit nanti di neraka, untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka dia akan menjatuhkan dirinya pula nanti (berulang-ulang) ke neraka, untuk selama-lamanya."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.88]
Dari Tsabit bin Dhahhak r.a., katanya Nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang bersumpah menurut cara suatu agama selain Islam, baik sumpahnya itu dusta mahupun sengaja, maka orang itu akan mengalami sumpahnya sendiri. "Siapa yang bunuh diri dengan suatu cara, Allah akan menyiksanya di neraka jahannam dengan cara itu pula."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.89]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Kami ikut perang bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam perang Hunain. Rasulullah berkata kepada seorang lelaki yang mengaku Islam, "Orang ini penghuni neraka." Ketika kami berperang, orang itu pun ikut berperang dengan gagah berani, sehingga dia terluka. Maka dilaporkan orang hal itu kepada Rasulullah s.a.w., katanya: "Orang yang tadi Anda katakan penghuni neraka, ternyata dia berperang dengan gagah berani, dan sekarang dia tewas." Jawab Nabi s.a.w., "Dia ke neraka." Hampir saja sebahagian kaum muslimin menjadi ragu-ragu. Ketika mereka sedang dalam keadaan demikian, tiba-tiba diterima berita bahawa dia belum mati, tetapi luka parah. Apabila malam telah tiba, orang itu tidak sabar menahan sakit kerana lukanya itu. Lalu dia bunuh diri. Peristiwa itu dilaporkan orang kepada Nabi s.a.w. Nabi s.a.w. bersabda, "Allahu Akbar! Aku mengaku bahawa aku hamba Allah dan RasulNya." Kemudian beliau memerintahkan Bilal supaya menyiarkan kepada orang banyak, bahawa tidak akan dapat masuk syurga melainkan orang muslim (orang yang tunduk patuh). Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan orang jahat."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.90]
Dari Syaiban r.a., katanya dia mendengar Hasan r.a. bercerita: "Masa dulu, ada seorang lelaki keluar bisul. Ketika ia tidak dapat lagi menahan sakit, ditusuknya bisulnya itu dengan anak panah, menyebabkan darah banyak keluar sehingga ia meninggal. Lalu Tuhanmu berfirman: Aku haramkan baginya syurga."26) Kemudian Hasan menunjuk ke masjid sambil berkata, "Demi Allah! Jundab menyampaikan hadith itu kepadaku dari Rasulullah s.a.w. di dalam masjid ini."
26). Kerana dia dengan sengaja bunuh diri.

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.93]
Dari Jabir r.a., katanya: "Thufail bin 'Amar Ad Dausi datang kepada Nabi s.a.w., lalu katanya: "Berkenankah Anda tinggal di benteng kami yang kuat tangguh, iaitu benteng suku Dausi masa Jahiliyah" Rasulullah s.a.w. tidak berkenan memenuhi permintaan itu, kerana beliau yakin terhadap ketangguhan yang telah ditanamkan Allah di hati kaum Anshar di Madinah. Ketika Rasulullah s.a.w. hijrah ke Madinah, Thufail bin 'Amar ikut pula hijrah. Dia membawa serta seorang lelaki warganya. Tetapi hawa Madinah tidak cocok bagi mereka, sehingga teman Thufail sakit dan tak sabar menahan derita itu. Kerana itu diambilnya senjatanya, lalu dipotongnya tangannya sehingga darah mengucur dengan derasnya dan menyebabkan kematiannya. Pada suatu malam Thufail bin 'Amar bermimpi melihat temannya itu segar bugar, dengan tangan terbungkus. Thufail bertanya kepadanya, "Apakah yang diperbuat Tuhan terhadapmu?" Jawabnya, "Allah mengampuni dosa-dosaku, kerana aku telah ikut hijrah mengikuti Nabi s.a.w." Tanya Thufail, "Kulihat tanganmu dibungkus, kenapa?" Jawabnya, "Dikatakan (Tuhan) kepadaku, Kami tidak akan memperbaiki apa yang telah kamu rosakkan sendiri." Mimpi Thufail itu diceritakannya kepada Nabi s.a.w., lalu beliau mendo'a, "Ampunilah dia, ya Allah, kerana dia telah memotong tangannya."27)
27). Hadith ini menjadi dalil bagi Ahli Sunnah, bahawa orang yang bunuh diri atau mengerjakan sesuatu maksiat, kemudian dia mati sebelum taubat lebih dahulu, orang-orang itu tidak dihukum kafir, hanya diseksa kerana dosanya. (Syarah An Nawawi, I:318)

0 comments:

Post a Comment