Showing posts with label Warning. Show all posts
Showing posts with label Warning. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Orang Yang Tidak Dipedulikan Allah

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.83]
Dari Abu Dzar r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Ada tiga golongan, di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka pada hari kiamat. Mereka itu ialah: (1) Orang yang suka memberi, tetapi suka menyebut-nyebut pemberiannya itu. (2) Orang yang menawar-nawarkan dengannya dengan sumpah palsu. (3) Orang yang suka berpakaian berjela-jela kerana sangat luasnya.24)
24) Pakaian bangsa Arab ialah semacam jubah. Ada orang yang suka berpakaian dalam sampai menyapu tanah, untuk menunjukkan dirinya orang kaya atau bangsawan tinggi. Kerana itu mereka bangga dengan pakaiannya yang dalam. Rasulullah melarang berpakaian demikian kerana yang seperti itu adalah salah satu bentuk kesombongan.



[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.84]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ada tiga golongan, di mana Allah tidak akan bercakap kepada mereka, tidak membersihkan mereka daripada dosa, — Kata Mu'awiyah, juga tidak akan menengok kepada mereka,25) bahkan mereka mendapat siksa yang pedih: (1) Orang tua pezina; (2) Raja (penguasa) pembohong; (3) Si miskin yang sombong."
25) Allah tidak akan mengendahkan mereka.



[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.85]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ada tiga golongan, di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menengok kepada mereka dan tidak membersihkan mereka daripada dosa, bahkan mereka mendapat siksa yang pedih: (1) Orang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, tetapi dia tidak mahu memberi orang yang kehausan dalam perjalanan; (2) Orang yang menawarkan barang dagangannya dengan sumpah palsu sesudah 'Ashar, dengan mengatakan modalnya sebegini atau sebegitu. Pembelinya percaya saja, padahal yang sebenarnya tidak begitu. (3) Orang yang bersumpah setia kepada pemimpin untuk mengharapkan keuntungan dunia. Apabila dia beroleh keuntungan dipenuhinya janjinya, tetapi apabila tidak, tidak dipenuhinya.

Friday, November 26, 2010

Bunuh Diri

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.86]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapa yang bunuh diri dengan senjata tajam, maka senjata itu akan ditusuk-tusukkannya sendiri dengan tangannya ke perutnya di neraka untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan racun, maka dia akan meminumnya pula sedikit demi sedikit nanti di neraka, untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka dia akan menjatuhkan dirinya pula nanti (berulang-ulang) ke neraka, untuk selama-lamanya."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.88]
Dari Tsabit bin Dhahhak r.a., katanya Nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang bersumpah menurut cara suatu agama selain Islam, baik sumpahnya itu dusta mahupun sengaja, maka orang itu akan mengalami sumpahnya sendiri. "Siapa yang bunuh diri dengan suatu cara, Allah akan menyiksanya di neraka jahannam dengan cara itu pula."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.89]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Kami ikut perang bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam perang Hunain. Rasulullah berkata kepada seorang lelaki yang mengaku Islam, "Orang ini penghuni neraka." Ketika kami berperang, orang itu pun ikut berperang dengan gagah berani, sehingga dia terluka. Maka dilaporkan orang hal itu kepada Rasulullah s.a.w., katanya: "Orang yang tadi Anda katakan penghuni neraka, ternyata dia berperang dengan gagah berani, dan sekarang dia tewas." Jawab Nabi s.a.w., "Dia ke neraka." Hampir saja sebahagian kaum muslimin menjadi ragu-ragu. Ketika mereka sedang dalam keadaan demikian, tiba-tiba diterima berita bahawa dia belum mati, tetapi luka parah. Apabila malam telah tiba, orang itu tidak sabar menahan sakit kerana lukanya itu. Lalu dia bunuh diri. Peristiwa itu dilaporkan orang kepada Nabi s.a.w. Nabi s.a.w. bersabda, "Allahu Akbar! Aku mengaku bahawa aku hamba Allah dan RasulNya." Kemudian beliau memerintahkan Bilal supaya menyiarkan kepada orang banyak, bahawa tidak akan dapat masuk syurga melainkan orang muslim (orang yang tunduk patuh). Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan orang jahat."