Friday, November 26, 2010

Bunuh Diri

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.86]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapa yang bunuh diri dengan senjata tajam, maka senjata itu akan ditusuk-tusukkannya sendiri dengan tangannya ke perutnya di neraka untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan racun, maka dia akan meminumnya pula sedikit demi sedikit nanti di neraka, untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka dia akan menjatuhkan dirinya pula nanti (berulang-ulang) ke neraka, untuk selama-lamanya."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.88]
Dari Tsabit bin Dhahhak r.a., katanya Nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang bersumpah menurut cara suatu agama selain Islam, baik sumpahnya itu dusta mahupun sengaja, maka orang itu akan mengalami sumpahnya sendiri. "Siapa yang bunuh diri dengan suatu cara, Allah akan menyiksanya di neraka jahannam dengan cara itu pula."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.89]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Kami ikut perang bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam perang Hunain. Rasulullah berkata kepada seorang lelaki yang mengaku Islam, "Orang ini penghuni neraka." Ketika kami berperang, orang itu pun ikut berperang dengan gagah berani, sehingga dia terluka. Maka dilaporkan orang hal itu kepada Rasulullah s.a.w., katanya: "Orang yang tadi Anda katakan penghuni neraka, ternyata dia berperang dengan gagah berani, dan sekarang dia tewas." Jawab Nabi s.a.w., "Dia ke neraka." Hampir saja sebahagian kaum muslimin menjadi ragu-ragu. Ketika mereka sedang dalam keadaan demikian, tiba-tiba diterima berita bahawa dia belum mati, tetapi luka parah. Apabila malam telah tiba, orang itu tidak sabar menahan sakit kerana lukanya itu. Lalu dia bunuh diri. Peristiwa itu dilaporkan orang kepada Nabi s.a.w. Nabi s.a.w. bersabda, "Allahu Akbar! Aku mengaku bahawa aku hamba Allah dan RasulNya." Kemudian beliau memerintahkan Bilal supaya menyiarkan kepada orang banyak, bahawa tidak akan dapat masuk syurga melainkan orang muslim (orang yang tunduk patuh). Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan orang jahat."

Thursday, November 25, 2010

Bersama Kekasih

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2269]
Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Ketika aku dan Rasulullah s.a.w. pada suatu ketika keluar dari masjid, tiba-tiba kami ditemui oleh seorang lelaki di pintu masjid, lalu dia bertanya, "Ya, Rasulullah, bilakah terjadi hari qiamat?" Jawab Rasulullah s.a.w., "Apakah yang telah engkau persiapkan untuk itu?" Lelaki itu kelihatan seperti menunduk, kemudian dia berkata, "Tidak banyak yang telah kusiapkan; baik itu berupa solat (sunat), puasa, dan sedekah (zakat). Tetapi aku sungguh-sungguh mencintai Allah dan RasulNya." Maka bersabda Nabi s.a.w., "Engkau akan senantiasa bersama-sama kecintaanmu itu kelak."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2270]
Dari 'Abdullah r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., lalu dia bertanya, "Ya, Rasulullah! Bagaimana pendapat Anda tentang seorang lelaki yang mencintai suatu kaum, tetapi dia tidak pernah bertemu dengan kaum itu?" Jawab Rasulullah s.a.w., "Setiap orang bersama kekasihnya."



Kasih Allah Ta'ala

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2265]
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila Allah Ta'ala mengasihi seseorang hamba, maka dipanggilNya Jibril seraya berfirman: "Hai, Jibril! Sesungguhnya Aku mengasihi si Fulan. Maka kasihi pulalah dia!" Lalu Jibril mengasihi orang itu. Kemudian dia berseru kepada penduduk langit, katanya: "Sesungguhnya Allah Ta'ala mengasihi si Fulan. Maka kasihi pulalah dia oleh kalian semuanya!" Lalu penduduk langit mengasihi orang itu. Kemudian cinta kasih itu sampai kepada penduduk bumi. Dan apabila Allah Ta'ala membenci seseorang hamba, maka dipanggilNya Jibril seraya berfirman: "Hai, Jibril! Aku benci kepada si Fulan. Maka benci pulalah kepadanya!" Lalu Jibril membenci orang itu. Kemudian dia berseru kepada penduduk langit, katanya: "Sesungguhnya Allah Ta'ala membenci si Fulan. Maka benci pulalah kamu semua kepadanya." Kata Nabi s.a.w., "Lalu penduduk langit membenci orang itu, sehingga penduduk bumi membencinya pula."

Saturday, November 13, 2010

Divine Speech Prologue by Nouman Ali Khan



1.Speaker
2.Speech
3.Style

Fitnah dan Tanda-Tanda Qiamat [Part V:Ciri-Ciri Dajjal]

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2476]
Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya Rasulullah s.a.w. berbicara mengenai Dajjal di hadapan orang banyak. Sabda beliau, "Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak picek (buta matanya sebelah). Ketahuilah, sesungguhnya Al Masih Dajjal yang picek mata kanannya seperti sebuah anggur mengembung."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2477]
Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak ada seorang Nabi melainkan dia mengingatkan umatnya supaya waspada terhadap si picek pembohong besar. Ketahuilah! Dia picek, sedangkan Tuhanmu tidak picek. Antara kedua matanya tertulis 'kaf-fa-ra' (kafir)."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2478]
Dari Hudzaifah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku lebih tahu tentang Dajjal daripada Dajjal itu sendiri. Dia mempunyai dua sungai yang mengalir. Yang satu kelihatan oleh mata mengalirkan air putih bersih, sedang yang satu lagi kelihatan bagaikan api bergejolak yang sedang mengalir. Siapa yang menemukannya, hendaklah didatanginya sungai yang kelihatan seperti api menyala, lalu picingkan mata, tundukkan kepala dan minumlah airnya. Maka sesungguhnya itulah air sejuk. Dajjal matanya tertutup oleh selapis daging tebal. Antara kedua matanya terdapat tulisan 'kafir', yang dapat dibaca oleh setiap orang mukmin, baik yang tahu tulis baca atau tidak."

Fitnah dan Tanda-Tanda Qiamat [Part IV:Tanda-Tanda Qiamat]

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2466]
Dari Hudzaifah bin Asid Al Ghiffari r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. menengok kami ketika kami sedang berbincang-bincang seraya bertanya: "Apa yang sedang kalian perbincangkan?" Jawab para sahabat, "Kami berbincang-bincang mengenai hari qiamat." Sabda beliau, "Qiamat tidak akan terjadi sebelum terlihat sepuluh macam tanda: (1) Ad Dukhan (asap atau kabut), (2) Dajjal (si penipu besar), (3) Dabbah (binatang melata), (4) Matahari terbit dari barat, (5) 'Isa anak Maryam a.s. turun, (6) Ya'juj dan Ma'juj, (7) Gerhana di timur, (8) Gerhana di barat, (9) Gerhana di Jazirah 'Arab, (10) Api menyala di Yaman menghalau umat manusia ke mahsyar (tempat berkumpul)."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2467]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "belum terjadi qiamat sebelum api menyala di bumi Hijaz sehingga menyinari leher unta-unta di Bushra."94)
94). Bushra, sebuah kota di Syam (Siria), iaitu kota Hauran kira-kira tiga marhalah dari Dimsyiq (Damaskus). (Syarah Nawawi, 5:754).

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2468]
Dari 'Aisyah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Belum akan pergi malam dan siang (terjadi qiamat) sebelum disembah orang kembali Latta dan 'Uzza." Tanya 'Aisyah, "Ya, Rasulullah. Bagaimana dengan firman Allah yang mengatakan: "Dia (Allah) telah mengutus RasulNya dengan petunjuk (Al-Qur'an) dan dengan agama yang benar (Islam) untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai." (At Taubah, 33). Aku menduga bahawa ketika ayat itu diturunkan, perihal orang-orang menyembah berhala telah selesai." Jawab Rasulullah s.a.w., "Yang demikian bakal terjadi dengan kuasa Allah. Allah akan meniupkan angin yang baik, maka wafatlah setiap orang yang ada iman dalam dadanya, walaupun iman yang hanya seberat biji sawi. Sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang tidak baik belaka. Lalu mereka kembali memeluk agama nenek moyang mereka."

Fitnah dan Tanda-Tanda Qiamat [Part III:Islam Mula-Mula Asing, dan Akan Kembali Asing]

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.118]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Islam pada mulanya asing, dan akan kembali asing seperti semula. Maka berbahagialah kiranya yang terasing."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.119]
Dari Ibnu 'Umar r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya Islam itu mula-mulanya asing dan akan kembali asing bagai semula. Dia akan kembali kepada dua masjid sebagaimana ular kembali ke sarangnya."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.120]
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya iman itu akan kembali ke Madinah, seperti ular kembali ke sarangnya."40)

Fitnah dan Tanda-Tanda Qiamat [Part II:Fitnah Terjadi Sesudah 'Umar Tewas]

Fitnah (Bencana) Terjadi Sesudah 'Umar Tewas

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2465]
Dari Hudzaifah r.a. katanya: "Pada suatu ketika kami berada bersama 'Umar lalu dia bertanya: "Siapakah di antara saudara-saudara yang hafal hadith Rasulullah s.a.w. mengenai fitnah (bencana) sebagaimana pernah disabdakan beliau?" Jawabku, "Aku!" Kata 'Umar, "Engkau sungguh pemberani! Nah, bagaimana sabda beliau?" Jawabku, "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Fitnah (bencana atau kekacauan) seorang lelaki bersumber atau terletak pada isterinya, pada hartanya, pada dirinya, pada anaknya, pada tetangganya. Semuanya tidak melakukan puasa, tidak solat, tidak bersedekah (zakat), tidak mahu menganjurkan yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar." Kata 'Umar, "Bukan itu yang kumaksud. Tetapi ialah huru-hara yang menggelora bagaikan gelombang lautan." Jawabku, "Anda tidak terlibat dalam peristiwa itu, ya Amirul Mukminin! Kerana antara Anda dengan bencana itu ada suatu pintu yang terkunci rapat." Tanya 'Umar, "Apakah pintu dipecah atau dibuka orang?" Jawabku, "Tidak dibuka, tetapi dipecahkan orang." Kata 'Umar, "Kalau begitu, pantas pintu itu tak dapat lagi dikunci untuk selama-lamanya." Kami bertanya kepada Hudzaifah, "Tahukah 'Umar, pintu itu pintu yang mana?" Jawab Hudzaifah, "Ya, seperti apa yang diketahui 'Umar malam ini, lepas daripada besok."93)
93). Yang dimaksud dengan pintu dalam hadith Rasulullah s.a.w. tersebut ialah peribadi Khalifah 'Umar sendiri. 'Umar dilambangkan sebagai pintu yang terkunci rapat, yang dapat menahan atau melumpuhkan segala macam kekacauan yang mungkin terjadi di kalangan umat Islam, berkat kepemimpinannya yang cermat, adil, dan berwibawa tinggi. Setelah beliau wafat kerana dendam seorang perngkhianat, bencana datang beruntun seperti gelombang lautan. Antara lain terbunuhnya Khalifah 'Utsman oleh umat Islam sendiri, kemudian 'Ali, dan seterusnya. (Syarah Nawawi, 5:752).

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.117]
Dari Hudzaifah r.a., katanya: "Pada suatu hari kami berada bersama-sama 'Umar bin Kaththab, lalu dia bertanya: "Siapakah di antara Anda semua yang pernah mendengar Rasulullah s.a.w. membicarakan perihal fitnah (bencana)?" Jawab hadirin, "Kami pernah mendengar." Kata 'Umar, "Barangkali yang Anda maksudkan, bencana yang terjadi dalam keluarga atau tetangga seseorang." Jawab mereka, "Ya, benar!" Kata 'Umar, "Bencana yang demikian dapat dihapus dengan solat, puasa dan sedekah. Tetapi siapa di antara Anda sekalian yang pernah mendengar Nabi s.a.w. berbicara mengenai bencana besar39) yang terjadi seperti gelombang laut?" Kata Hudzaifah, "Orang banyak diam saja. Kerana itu aku berkata: "Aku pernah dengar!" Kata 'Umar, "Bagus, silakan bicara!" Kata Hudzaifah, "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Fitnah membentang dalam lubuk hati manusia sedikit demi sedikit bagaikan tenunan sehelai tikar. Hati yang menerimanya akan mendapat bercak hitam, sedangkan hati yang menolak fitnah itu akan tetap putih cemerlang selama langit dan bumi masih ada. Hati yang telah kena bercak hitam, lama-lama akan menjadi sangat hitam bagaikan belanga tertelungkup. Dia tidak lagi mengenal baik dan buruk, tetapi hanya mengikuti kehendak hawa nafsunya semata-mata." Kata Hudzaifah melanjutkan, "Antara Anda dengan berkecamuknya bencana besar itu terdapat sebuah pintu yang terkunci rapat, namun dikhuatirkan pintu itu akan dipecahkan orang." Tanya 'Umar, "Akan dipecahkan orang? Bagaimanakah kiranya kalau pintu itu dibuka saja, barangkali dapat ditutup kembali dengan baik." Kata Hudzaifah, "Pintu itu ialah seorang pemimpin utama yang kemudian tewas dibunuh orang. Dan hadith ini bukanlah sekadar cerita dongeng belaka."
39). Fitnah (bencana) besar bermaksud ialah perang saudara di kalangan kaum muslimin yang terjadi silih berganti bagaikan gelombang laut, sesudah pemerintahan 'Umar sendiri. Setelah 'Umar tewas di tangan pembunuh yang mendendam, fitnah (bencana) mulai merayap di kalangan kaum muslimin kerana nafsu hendak merebut kekuasaan yang ditiup-tiupkan musuh-musuh Islam. Selama pemerintahan Abu Bakar dan 'Umar, nafsu-nafsu seperti itu dapat ditekan oleh keduanya berkat wibawa serta ketajaman pandangan yang dipancarkan iman dan taqwa yang dimiliki keduanya. Maka dalam hadith ini 'Umar digambarkan sebagai pintu yang terkunci, yang menutup rapat datangnya bencana itu. Tetapi pintu itu sendiri, yakni 'Umar, dipecah (dibunuh) oleh si pendendam yang hanya mengutamakan dendam peribadinya. Setelah 'Umar terbunuh, mulailah berkembang isu-isu yang mengatakan, bahawa yang berhak menjadi khalifah ialah keluarga Rasulullah s.a.w. Tetapi nyatanya yang terpilih sesudah 'Umar ialah 'Utsman bin 'Affan, yang menyebabkan tambah meluasnya isu tersebut. Akhirnya Khalifah 'Utsman mati terbunuh kerana isu itu, padahal 'Utsman sendiri adalah menantu Rasulullah pula.

Friday, November 12, 2010

Fitnah dan Tanda-Tanda Qiamat [Part I:Fitnah dan Permusuhan]

Bila Kejahatan Telah Merajalela

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2454]
Dari Zainab binti Jahsy r.a. katanya: "Nabi s.a.w. bangun dari tidur sambil mengucapkan: Laa Ilaaha illallah, celaka orang 'Arab kerana bencana telah dekat. Hari ini terbuka dinding penutup Ya'juj dan Ma'juj selebar ini --Abu Sufyan merapatkan sepuluh jarinya-- ." Tanya Zainab, "Ya, Rasulullah! Akan binasakah kita semua, padahal di antara kita terdapat orang-orang saleh?" Jawab beliau, "Ya, kalau kejahatan telah banyak terjadi."



Ka'bah Tetap Aman

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2455]
Dari Hafshah r.a. katanya dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "Rumah ini (Ka'bah) akan tetap aman dari serangan tentera yang hendak menyerbunya. Setelah mereka sampai di Baida', pasukan tengah mereka lenyap. Lalu pasukan depan memanggil pasukan belakang. Kemudian mereka lenyap semuanya, sehingga yang tinggal hanyalah yang lari ketakutan menceritakan keadaan mereka." Maka berkata seorang lelaki, "Aku percaya engkau tidak berdusta atas berita dari Hafshah itu dan percaya pula Hafshah tidak berdusta bahawa berita itu datang dari Nabi s.a.w."



Kekacauan di Madinah

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2456]
Dari Usamah bin Zaid r.a. katanya Nabi s.a.w. mendaki sebuah benteng di antara benteng-benteng yang ada di Madinah, kemudian beliau bersabda: "Tahukah kamu apa yang kelihatan olehku? Aku melihat fitnah (kekacauan) terjadi di celah-celah rumah-rumah kamu (merata) seperti ditimpa hujan." 92)
92). Peringatan Nabi s.a.w. terbukti dengan terjadinya perang di antara sesama mereka, perang Jamal, perang Shiffin, terbunuhnya 'Utsman, terbunuhnya Husen bin 'Ali bin Abu Thalib r.a. dan sebagainya. (Syarah Nawawi, 5:734).